image301

PUAN SARINA

Arwah Suami Baru Buka Sebulan Akaun SSPN i-Plus

Seremban:  “Setahu saya arwah baru mencarum hanya sebulan, tidak disangka pulangan  adalah sebanyak itu,” kata Sarina Abdul Manap, 40, yang menerima  perlindungan takaful Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional  (PTPTN) dan SSPN-i Plus berjumlah RM127,515.12 di Kampung Siliau Tengah,  di sini, semalam.

Sarina  berkata, arwah suaminya, Muhammad Zaki Abu Hasan, peminjam PTPTN dan  mencarum akaun SSPN-i Plus untuk tiga anak mereka pada Mei lalu.  Katanya, suaminya terkorban selepas terbabit kemalangan motosikal di  Batu 8, Jalan Labu, di sini, 19 Jun lalu ketika berusia 39 tahun.

“Saya  dihubungi pihak PTPTN, baru-baru ini yang memaklumkan menerima manfaat  mewakili arwah. Saya sangkakan jumlah itu tidak sebanyak mana  sehinggalah diberitahu ia berjumlah RM127,515.12,” katanya ditemui pada  majlis penyerahan takaful itu di rumahnya.

Penyerahan  disempurnakan Pengurus Besar Kanan Jabatan Pemasaran dan Komunikasi  Strategik PTPTN, Abdul Ghaffar Yusop. Hadir sama, Pengurus Besar  Pembangunan Perniagaan Hong Leong MSIG Takaful, Yassin Azlin Abdul  Ghaffar.

Sarina yang juga  operator kilang berkata, arwah mengambil langkah bijak mencarum untuk  tiga anak mereka, Noor Aiya Batrisha, 11, Syazana Noor Damia, 8, dan  Shazlin Noor Zaira yang berusia 2 tahun.

“Arwah  memikirkan kepentingan dan masa depan anak-anak. Sesungguhnya dia suami  dan bapa yang sangat baik,” katanya memberitahu arwah menyertai pakej  Intan dengan bayaran RM90 sebulan. Menurutnya, wang yang diterima akan  digunakan sebaik mungkin untuk pendidikan dan masa depan tiga anaknya.

Sementara  itu, Abdul Ghafar berkata, Muhammad Zaki meminjam PTPTN untuk  melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.  Arwah mencarum baru sebulan sebelum terbabit kemalangan.

Katanya, arwah dilindungi manfaat perlindungan takaful RM120,000 bagi tiga akaun anaknya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2017 @ 11:44 AM

Mohd Amin Jalil Mohd Amin Jalil

am@hmetro.com.my